Usahawan popular Neelofa berkongsikan dia sudah lama mengetahui mengenai hubungan abang iparnya dengan penyanyi Aisyah Aziz.
Memetik Oh Bulan, Neelofa berkata dia memilih berdiam diri kerana mahu menghormati pasangan itu serta meluahkan rasa syukur segalanya berjalan dengan lancar.
BACA: “Otak & Emosi Boleh Rosak, Mindset Kolot Suka Pukul Anak” – Neelofa
“Saya sudah lama tahu hubungan mereka dan saya hormat hubungan mereka. Selagi tiada akad, selagi itu kita tidak tahu apa yang akan jadi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Neelofa menyifatkan Aisyah seorang yang lemah lembut dan sangat ramah mesra. Malah, Neelofa turut mendoakan pasangan itu melayari bahtera rumah tangga dengan baik.
“Aisyah seorang yang sangat lemah lembut, baik, seorang yang tidak banyak songeh. Dia sangat mudah untuk menyesuaikan diri pada perubahan.
“Saya nampak dia seorang yang tiada banyak hal, sangat beramah mesra dan lemah lembut. Alhamdulillah, saya cuma doakan supaya mereka melayari rumah tangga dengan mudah dan baik,” katanya.
Terdahulu, Aisyah berkahwin dengan Dr. Mohd. Fakhrudin Amir Mohd Ismail merupakan abang kepada PU Riz di Singapura pada 11 April lalu.
SUMBER: Oh Bulan