Selepas empat bulan mengikat tali pertunangan, pelakon Bella Dally sah bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan, Arif Izuddin dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Putrajaya, Ahad lalu.
Rumah tangga yang dibina hanya mampu bertahan selama dua tahun, Nazim Othman mengakui terkesan dengan perkahwinan bekas isterinya. Menurut Nazim, dia pernah menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyelamat perkahwinannya terdahulu.
BACA: Nazim Othman Beri Tanda Minat Lelaki Lain?
“Ini perkara yang orang luar tidak tahu. Saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menunjukkan perasaan sebenar. Malah, saya tidak ‘wish’ pun di sosial media. Cukup orang tahu saya mendoakan kebahagiaan buatnya yang pernah diluahkan padanya depan-depan.
“Saya kena belajar. Pokok pangkalnya dalam rumah tangga adalah lelaki. Saya mengambil iktibar daripada pengajaran perkahwinan terdahulu.
“Sejujurnya, saya masih terkesan lagi. Saya akui perkara ini. Sedikit sebanyak masih ada. Terkesan sebab kenapa tidak pertahankan dan tidak kuat. Saya marah dan rasa ralat pada diri. Dalam beberapa bulan selepas bercerai, saya ‘down’. Kemudian saya kembali okey selepas maafkan diri sendiri,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.
Nazim juga memberitahu, Bella ada menjemput ke majlis akad nikahnya dalam nada bergurau. Bagaimanapun, jika Bella menjemputnya sekalipun, dia tidak akan menghadirkan diri kerana menghormati banyak pihak.
Dalam pada itu, Nazim turut mendoakan kebahagiaan bekas isterinya agar ikatan perkahwinan yang dibina kekal hingga ke jannah. Nazim dan Bella mendirikan rumah tangga pada 10 September 2016, namun berpisah pada 2 Mei lalu.