fbpx

Nak Jadi Orang Biasa, Sugu Pavithra Enggan Terima Sebarang Anugerah

Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai kes pasangan YouTuber masakan popular, M. Sugu yang didakwa mencederakan isterinya, S. Pavithra ternyata mengejutkan ramai pihak dan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, hari ini Pavithra dilaporkan telah menarik balik laporan polis tersebut serta mengikat jamin suaminya sebanyak RM10,000 serta mengakui sudah memaafkan kesalahan suaminya itu.

BACA: MBI Perjelas Punca Sugu Tak Layak Terima Anugerah Ikon

Susulan kejadian yang berlaku, pasangan itu mengambil keputusan untuk menolak pengiktirafan menjadi Ikon Bandaraya Ipoh yang diumumkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Isnin lalu dan enggan menerima sebarang anugerah selepas ini.

“Kami baru jadi youtubers dan kami tidaklah hebat sangat dan kami memang tak layak untuk jadi ikon Perak dan apa-apa lagi.

“Ada lagi yang ramai di luar sana, jangan pilih kami sebab ramai rakyat yang salah faham dan benda ini membuatkan orang ramai sakit hati,” katanya.

Pavithra berkata, mereka tidak mahu dikenali ramai dan mahu fokus pada program masakan kendalian mereka di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ selepas ini.

“Selepas ini kami tidak mahu jadi orang dikenali ramai. Semua itu kami tak nak. Kami orang biasa saja, jadi biarkan kami hidup seperti biasa. Kami tak layak dapat gelaran ikon sebab ramai orang yang berbakat ada di luar sana.

“Kami jaga youtube, nak fokus youtube saja, kami orang biasa jadi pangkat memang kami tidak mahu,” katanya.

Terdahulu, suami pasangan YouTuber sensasi itu naik berang hingga mencederakan isterinya adalah rasa tidak berpuas hati apabila nama tidak tercalon untuk menerima anugerah ikon.