fbpx

Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana Selamat Diijabkabul

Saling mengenali sejak lapan tahun lalu dan bermula dengan cinta dalam diam, pasangan pelakon Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa selamat diijabkabulkan petang tadi di kediaman keluarga Ardell, di Seri Kembangan.

Pasangan ini dinikahkan Imam Masjid al-Mutaqqin Seri Kembangan, Ustaz Hafiza Hafiz dengan sekali lafaz pada jam 5.30 petang.

Ardell menerima hantaran senaskah al-Quran dan mas kahwin RM300 serta masing-masing menyerahkan dua dulang hantaran.

Difahamkan, Al-Quran tersebut merupakan hadiah yang diberikan oleh Ardell kepada Nadzmi sewaktu majlis merisik dan diserahkan kembali sebagai hantaran selepas khatam dan difahami tafsirnya.

“Alhamdulillah, saya sudah khatam al-Quran yang diberikan Ardell. Dia menyerahkannya ketika bertandang ke rumah keluarga saya di Wangsa Melawati.

“Ketika itu, Ardell datang bersama keluarganya. Perjumpaan itu umpama majlis merisik sesama kami dan keluarga.

“Tiada majlis pertunangan. Sebaliknya, hanya ada majlis khatam al-Quran dianjurkan keluarga saya, Jumaat lalu. Naskhah al-Quran yang sama, selepas khatam dan difahami tafsir dan maksudnya, diserahkan kembali pada hari pernikahan ini,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Nadzmi berkata hubungan mereka bertambah erat kira-kira empat tahun lalu selepas membintangi sebuah drama bersama dan menyifatkan jodoh mereka dipanjangkan atas berkat doa peminat.