fbpx

Nad Zainal Dah Boleh Ketawa, Tak Lagi Dirawat Di ICU

Hampir sebulan dimasukkan ke hospital akibat pendarahan pada bahagian paru-paru, terbaru keadaan kesihatan pelakon Nad Zainal dilaporkan dalam keadaan baik dan tidak lagi ditempatkan di unit rawatan rapi.

Menerusi satu perkongsian dibuat oleh pengarah Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat berkata Nad sudah boleh berbual dan bergelak ketawa.

BACA: Nad Zainal Dalam Keadaan Baik, Kini Dalam Proses Pemulihan

“Untuk pengetahuan keadaan Nanad (nama panggilan Nad) tersangatlah baik. Dia bukan lagi di ICU dan tidak lagi ditidurkan.

“Nanad sudah sedar, boleh berbual dan bergelak ketawa. Nanad juga boleh berjalan pergi ke tandas sendirian walaupun kami berpesan jangan sebab paru-parunya masih belum kuat,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrulezad berkata Nad masih perlu berehat penjang berikutan paru-parunya yang berlaku pendarahan sebelum ini.

“Nanad juga masih perlu berehat panjang demi kekuatan paru-paru yang luka masa pendarahan tempoh hari. Alhamdullilah syukur sangat,” tulisnya.

Dalam pada itu, Shahrulezad turut menjelaskan mengapa dia sudah lama tidak memuat naik perkembangan mengenai Nad kerana menghormati keluarga pelakon itu.

“Saya lama tak tak kongsi perkembangannya kepada umum kerana kesiankan keluarga Nanad. Selain dari mengutamakan kesihatannya, keadaan mental keluarga Nanad juga keutamaan kami.

“Saya perasan setiap kali berkongsi perkembangan Nanad pasti akan wujud rantaian berita bukan-bukan dan menyakitkan hati kami terutama orang tua Nanad.

“Nanad anak tunggal, jadi bila berita yang bukan-bukan bersepah sana sini bayangkan macam manalah perasaan keluarga dia berdepan dengan fitnah itu seorang diri,” tulisnya.