fbpx

Nabila Razali Terharu Muzik Video Peluang Kedua Raih 1 Juta Tontonan

Meskipun nyanyiannya dikecam teruk sebelum ini, namun Nabila Razali sekali lagi mencatat sejarah apabila video muzik single Peluang Kedua mencapai tontonan 1 juta dalam tempoh sehari dimuat naik YouTube.

Meluahkan rasa syukur, Nabila berkata ia adalah satu pencapaian yang bermakna dalam kerjaya seninya sebagai anak seni. Malah, Nabila tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dengan muzik video tersebut.

BACA: “Takkan 4 Minit Saya Nyanyi Semua Sumbang, Mesti Ada Yang Sedap”

“Alhamdulillah, saya terharu kerana video muzik Peluang Kedua yang dimuat naik pada Selasa lalu mencapai 1 juta tontonan dalam tempoh singkat.

“Ia mengulangi kejayaan single Pematah Hati pada 2017. Mungkin ia perkara biasa bagi penyanyi lain, tetapi satu kejayaan besar buat saya.

“Sebenarnya, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana lirik video yang dimuat naik pada April lalu sudah pun mencecah 12 juta tontonan” ujarnya kepada BH Online.

Menampilkan MK K-Clique sebagai hero dan rakan duet untuk single terbaharu itu, Nabila tidak menolak muzik video itu mendapat sambutan disebabkan penyanyi rap berkenaan yang menjadi kegilaan ramai wanita.

“Sudah tentu kredit bukan pada saya seorang kerana percaya MK juga menjadi faktor untuk orang ramai menonton video muzik ini berulang kali.

“MK juga memberikan kerjasama dalam mempromosikan single Peluang Kedua sejak dimuat naik,” ujarnya.