fbpx

Nabila Razali Sahkan Bakal Beraksi Di AJL35

Meksipun keadaan kesihatannya masih belum sepenuhnya, penyanyi Nabila Razali mengesahkan dia bakal beraksi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, bulan depan, untuk menyanyikan lagu Peluang Kedua.

Berdepan masalah peti suara, Nabila berkata dia sanggup menganggung risiko demi para peminatnya yang rindu untuk melihatnya membuat persembahan.

BACA: Hadapi Masalah Suara, Nabila Razali Terkena Buatan Orang?

“Kalau diikutkan, vokal saya masih belum pulih dan sedang dalam proses mendapatkan rawatan susulan. Doktor tidak menggalakkan saya menyanyi dalam keadaan begini sebenarnya.

“Namun, disebabkan peminat rindukan saya untuk kembali beraksi, saya membuat keputusan menyahut cabaran itu biarpun sedar risiko menanti,” katanya kepada BH Online.

Nabila berkata dia kini sedang berahat panjang sebagai persediaan memandangkan acara itu tinggal sebulan sahaja lagi dan berharap dapat membuat persembahan pada malam tersebut.

“Sejak mengalami masalah vokal, saya sudah lama tidak mengambil tawaran acara persembahan. Saya banyak berehat dan mengamalkan minum jus lemon untuk memulihkan kotak suara.

“Selain itu, saya juga mengharapkan doa daripada semua pihak agar segera pulih dan dapat membuat persembahan pada malam itu nanti.

“Insya-Allah, ada tempoh sebulan lagi untuk ke malam kemuncak. Saya harap semuanya dipermudahkan. Jika berlaku sesuatu yang mungkin menghalang untuk saya menyanyi, kita akan fikiran jalan penyelesaiannya,” kata penyanyi berusia 28 tahun ini.