fbpx

“Mungkin Allah Tahu Kami Belum Sedia Bergelar Ibu Bapa”

Hampir tiga tahun melayari bahtera rumah tangga, Hazama dan isterinya, Genervie Kam tidak melatah apabila sering ditanya mengenai soal zuriat. Hazama berkata dia tidak berputus asa sekiranya belum dikurniakan cahaya mata.

Menurut Hazama, dia percaya Allah akan kurniakan zuriat apabila sampai masanya nanti. Ujarnya lagi, pasti ada sebabnya mereka belum dihadiahkan cahaya mata lagi dan mungkin Allah tahu mereka masih belum bersedia.

BACA: “Orang Lain Kahwin Lambat Tapi Sudah Ada Anak”

“Saya bersyukur dan berserah pada qada dan qadar. Sekiranya Allah nak beri saya anak, saya gembira. Jika Dia tak bagi lagi buat masa ini adalah sebabnya.

“Mungkin Allah tahu saya dan isteri masih belum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa. Saya tidak mahu jadikan anak itu sebagai satu trend. Apabila tiba masa yang tepat, mungkin Allah akan hadiahkan kami zuriat,” katanya kepada MH.

Kata Hazama lagi, tugas sebagai ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah kerana bertambah lagi tanggungjawab. Katanya, dia tetap reda jika tidak dikurniakan zuriat sekalipun.

“Pada awal perkahwinan bukan sebab saya nak anak, tetapi saya sangat mencintai isteri saya. Anak itu adalah bonus. Lain pula tanggungjawabnya pada isteri dan anak.

“Sekiranya saya patut dapat anak, alhamdulillah. Jika saya tak dapat anak sekalipun, saya tetap reda dengan ketentuan Illahi. Jadi apa yang saya lakukan sekarang ini saya gembira dengan kehidupan saya kini,” katanya.