fbpx

Muka Cengkung Sejak Hamil, Mira Filzah Dikecam

Januari lalu, pelakon dan pengacara Mira Filzah mengumumkan dirinya kini hamil cahaya mata sulung dan usia kandungan kini sudah mencecah enam bulan.

Mira mengakui dia dihujani dengan komen negatif daripada netizen mengenai perubahan fizikalnya kerana wajahnya yang cengkung dan badannya kelihatan kurus sejak beberapa bulan lalu.

BACA: Mira Filzah Sahkan Hamil Anak Pertama

“Soalan tentang hal ini sangat banyak. Saya juga menerima banyak komen negatif disebabkan bentuk wajah yang cengkung.

“Banyak juga saya terima komen sebegitu sejak beberapa bulan lalu. Sesetengah orang juga agak kasar,” katanya.

Menjawab soalan netizen di Insta Story, Mira berkata perubahan bentuk fizikalnya yang kurus bukan disebabkan alahan malah dia tidak langsung mengawal pemakanan.

“Hendak kata makan dalam kuantiti sedikit rasanya saya nikmati macam-macam makanan. Saya juga tidak kawal langsung tetapi mungkin disebabkan perubahan badan,” katanya.

Dalam pada itu, Mira berkongsikan dia juga kurang gemar untuk beraksi di hadapan kamera sejak berbadan dua.

“Ya, saya kurang suka bergambar sejak beberapa bulan lalu. Setiap kali hendak senyum, rasa sangat janggal. Instagram merupakan ruangan saya bekerja dan akan mengurangkan perkongsian peribadi serta keluarga,” katanya.