Usahawan sensasi, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman bakal muflis selepas pemfailan pemiutang bagi menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripadanya dilakukan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Pemfailan petisyen dilakukan bekas stokis utama bengkung yang dikeluarkan Sajjad iaitu Owa Resources Sdn Bhd menerusi peguam, Nurul Hafidzah Hassan. Menurut Hafidzah, petisyen itu difailkan selepas notis kebankrapan yang dikeluarkan terhadap Sajat tidak mendapat sebarang maklum balas.
BACA: Sajat Dakwa Dicabul Pegawai Penguatkuasa, JAIS Minta Bukti
Menerusi perintah bankrap, Sajjad boleh diisytiharkan muflis seterusnya menyebabkan segala aset termasuk rumah dan akaun bank miliknya diuruskan Jabatan Insolvensi.
“Petisyen perlu diserahkan kepada Muhammad Sajjad dan sekiranya penyerahan itu gagal, kita akan membuat pengiklanan seterusnya kepada pendengaran dan perintah bankrap.
“Keputusan dijangka akan diperoleh dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi daripada mahkamah sekiranya Muhammad Sajjad terus gagal bayar jumlah penghakiman itu,” katanya.
Kata Hafidzah lagi, setakat ini belum dapat mengenal pasti di mana keberadaan Sajat walaupun dia mendakwa berada di Australia.
Dalam pada itu, katanya lagi tiada sebarang pengesahan dokumen menunjukkan bahawa harta dan perniagaannya dijual sebagaimana yang dikatakan Sajat.
“Saya rasa tidak rasa semudah itu menjual harta seperti rumah kerana perlu melalui pelbagai prosedur seperti melantik peguam, menandatangani dokumen jual beli dan pengesahan daripada pejabat tanah. Tambahan, Muhammad Sajjad mempunyai notis bankrap,” katanya.