fbpx

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor membuat permohonan maaf susulan teguran secara terbuka kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa.

Memetik Malaysia Gazette, beliau berkata mengadakan konsert pada hari menghampiri bulan Ramadan adalah perkara yang melalaikan umat Islam daripada menumpukan perhatian kepada aspek pembangunan rohani.

BACA: Konsert Siti Nurhaliza Tetap Diteruskan Demi Dana Amal

“Bagaimanapun, saya hanya memberi pandangan peribadi serta mengambil kira kesan konsert itu ke atas umat Islam di sudut rohani bukan sekadar ingin mencapai kepentingan segera.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa pandangan peribadi seorang mufti tidak mengikat mana-mana individu muslim atau bukan muslim.

“Ini kerana mufti bukanlah seorang yang maksum atau terpelihara daripada kesalahan dan pandangan mufti bukan seperti ayat al-Quran atau hadis sahih yang tidak boleh dibantah oleh mana-mana penganut agama Islam,” katanya.

Sementara itu, Wan Salim berkata teguran dibuatnya itu adalah ikhlas demi kebaikan umat Islam dan bukan untuk mencari populariti 

“Terserahlah kepada pihak berkaitan dan orang ramai sama ada mahu menerima pandangan yang diberikan atau menolaknya berdasarkan pertimbangan masing-masing.

“Cuma perlu diketahui, sesuatu amalan atau tindakan seseorang Muslim dinilai di sisi Allah SWT berdasarkan niat yang ikhlas daripada pelakunya dan betul pula caranya mengikut syariat.

“Ini bermaksud tidak memadai melakukan sesuatu hanya dengan niat yang baik dan ikhlas sahaja tetapi caranya juga mestilah sesuai dengan hukum syariat,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim turut menerangkan bahawa beliau amat berlapang dada tentang hiburan dan aktiviti seni umumnya.

“Bagi saya, agama Islam sebagai cara hidup yang selari dan seraksi dengan keadaan semula jadi manusia (fitrah) tidak mungkin menentang hiburan dan kesenian yang bersih (al-funun al-bari’ah) asalkan ia tidak mendorong kepada maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan kepada Allah dan kepada sesama manusia.

“Inilah pendirian saya yang konsisten walaupun saya tahu ada sebahagian ulama yang berpandangan bahawa hukum nyanyian dan muzik adalah haram serta berdosa,” katanya.

Wan Salim turut memohon maad kepada Siti Nurhaliza Yayasan Nurjiwa kerana membuat teguran secara terbuka sehingga menimbulkan polemik yang tidak dijangka.