Berikutan negara dilanda bencana banjir sejak Sabtu lalu, penyanyi Misha Omar terkilan dengan pandangan pihak tertentu yang menyarankan agar aktiviti hiburan dikurangkan.
Lebih kesal, Misha berkata pendapat itu disuarakan oleh mereka yang mendapat punca pendapatan daripada dunia seni juga sedangkan ramai yang baru mula nak ‘bernafas;.
BACA: Misha Omar Henti Rawatan Kesuburan, Bimbang Tak Boleh Nyanyi Ketika Hamil
“Setiap orang ada pendapat mereka sendiri. Saya akur dengan hakikat itu. Bagaimanapun, kita tidak boleh paksa atau laksanakan apa yang mereka suarakan itu.
“Sebagai selebriti dan punya ramai pengikut, mereka kena ingat, apa yang disuarakan akan menjadi perhatian peminat dan pasti akan dipersetujui mereka.
“Industri kita baru hendak bermula. Jangan bunuh jiwa atau patahkan semangat anak seni lain yang mahu cari rezeki,” katanya.
Kata Misha lagi, pihak yang mempunyai pandangan sedemikian perlu memikirkan kesan kenyataan dibuat kerana boleh menjejaskan periuk nasi orang lain.
“Apabila industri hiburan bergerak, secara tidak langsung ia akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang berkaitan seperti pemuzik, jurusolek dan sebagainya.
“Tidak semestinya apabila kita berhibur, kita tak fikir pasal kesusahan yang dihadapi insan lain atau langsung tidak membantu mereka. Apapun, hidup mesti diteruskan,” katanya.