fbpx

Michael Ang Setuju Kru Produksi, Pelakon Jalani Ujian Air Kencing

Penerbit dan pengarah, Michael Ang bersetuju jika ujian air kencing pelakon dan kru produksi dilakukan sebelum dibenarkan masuk ke set penggambaran.

Selain bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah, Michael berkata tindakan itu sebagai inisiatif bagi membendung aktiviti kurang sihat seperti hal yang berlaku sebelum ini.

BACA: Michael Ang Tunggu Surat Saman Daripada Lana Nodin

“Sebenarnya soal berkaitan dadah ini memang saya pantang. Saya sendiri dah beritahu semua orang di set ‘shooting’ yang saya tak mahu ambil tahu apa mereka buat di luar dan kehidupan peribadi. Nak ambil dadah ke, ambil ‘ais’ ke, air laut ke, itu mereka punya hal.

“Janji apabila datang ke set ‘shooting’ saya bekerja, jangan buat benda itu semua (ambil dadah). Saya tak boleh nak ‘control’ kehidupan mereka sebab bukan hak saya. Tapi, bila datang ke set penggambaran perlu hormat orang lain.

“Sebab kena faham, kalau kau seorang yang kena tangkap tetap terkait dengan periuk nasi orang lain. Ditambah, masyarakat luar akan kaitkan dengan satu produksi termasuk orang tak bersalah pun dilabel ‘ambil dadah’ juga. Jadi, saya memang setuju kalau ujian air kencing dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Michael turut bertegas mengenai pengambilan vaksin Covid-19 pada semua pelakon dan pekerja di dalam produksinya.

“Bagi mereka yang bekerja dengan produksi saya akan turut diperiksa maklumat daripada My Sejahtera masing-masing sebelum masuk ke set penggambaran bagi memastikan sudah lengkap dua dos vaksin kerana saya tak mahu berlaku penipuan sijil. Sebagai penerbit, saya harus telus dan bertanggungjawab.

“Keselamatan semua pasukan produksi memang dijaga kerana saya menempatkan mereka di satu tempat yang dipanggil ‘gelombang shooting’. Mereka tidak bercampur gaul dengan orang luar dan pergerakan membabitkan pasukan saja,” katanya.