Pelakon dan pengacara, Michael Ang, meluahkan kebimbangannya terhadap satu dakwaan yang dikaitkan dengan kempen politik apabila berkongsi semula satu hantaran di Threads yang mempersoalkan kenyataan kononnya Datuk Seri Najib Razak boleh dibebaskan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam hantaran itu, Michael terlebih dahulu menjelaskan bahawa beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan hanya menyuarakan pandangannya sebagai rakyat Malaysia.
“Salam. Bukan berpihak kat siapa siapa eh! Pandangan kita sebagai rakyat malaysia!” katanya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana boleh menimbulkan persepsi yang mengelirukan dalam kalangan rakyat.
“Bagi i benda n statement mcm ni a bit alarming n scary the situation,” tegasnya.
Michael turut memuat naik satu tangkap layar yang mengandungi pandangan seorang pengguna media sosial berhubung isu berkenaan.

Menurut Michael, beliau lebih cenderung memilih pemimpin yang benar-benar membantu rakyat Malaysia dan bukannya memenuhi agenda tertentu.
“To me i will choose ppl who can help us as rakyat malaysia! Bukan memenuhi agenda tertentu aje! Kan?” jelasnya.
Hantaran Michael itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan sebahagian netizen turut membincangkan kepentingan memastikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman sentiasa dipelihara.
Sebelum ini, tular video anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nazifuddin Najib, yang menyatakan kemenangan besar BN di Johor merupakan isyarat bahawa rakyat mahu bapanya diberikan pengampunan.
“Memang kita nak BN menang besar dan kalau menang besar, apa salahnya kalau Bossku diampunkan dan keluar (penjara).
“Tak ada salah, itu hak Tuanku Agong dan kalau Bossku keluar, ramai yang akan gembira dan ramai sokong Bossku untuk bersama rakyat,” katanya.