fbpx

Mia Sara Disuruh Buka Tudung Jika Nak Berlakon

Mula mengenakan hijab sejak usia 11 tahun lagi, pelakon Mia Sara Nasuha akui tersinggung apabila ada pihak menawarkan watak kepadanya namun memberi syarat supaya dia membuka tudung.

Mia berkata dia tidak menyangka masih ramai tidak tahu bahawa dia sudah berhijab beberapa tahun lalu dan dia terpaksa menolak tawaran tersebut dengan cara baik.

BACA: Tudung Singkat Sangat, Bapa Mia Sara Mohon Maaf

“Ya memang tawaran berlakon saya dah berkurang. Memandangkan saya sudah lama dalam industri mungkin ramai yang tahu saya sudah bertudung jadi hormatilah pendirian saya.

“Baru-baru ini ada tawarkan saya watak tetapi minta saya buka tudung. Dia bukan muslim tetapi rakyat Malaysia, saya rasa tersinggung pihak terbabit bertanyakan soalan itu pada saya.

“Seolah-olah minta orang tak pakai baju kalau nak diambil berlakon. Banyak situasi macam itu berlaku sejak saya bertudung lagi. Sebab itu saya banyak tolak tawaran dan sebab itu tak revealing macam sebelum ini,” katanya.

Kata Mia lagi, dia hilang keyakinan diri apabila sering diasak dengan tawaran sedemikin jika mahu kembali aktif dalam dunia seni.

“Bila kurang berlakon, ramai ingat saya sudah berhenti dan fokus belajar. Tapi sejak tahun lepas saya sudah berlakon semula.

“Sebab itulah saya cuba mendapatkan semula kehidupan lama saya. Kadang-kadang boleh hilang keyakinan saya apabila ada yang bertanyakan soalan sedemikian,” katanya.