fbpx

Mia Ahmad Tak Izinkan Sesiapa Melawat Cahaya Mata Kedua

Melahirkan cahaya mata kedua ketika negara berdepan pandemik COVID-19, Mia Ahmad mengakui dia berdepan pengalaman dan cabaran berbeza. Mia berkata antara cabaran dihadapi apabila terpaksa melakukan ujian swab COVID-19 ketika dalam keadaan sedang sarat hamil.

Meskipun banyak kelonggaran diberikan oleh kerajaan kini, bagaimanapun Mia berkata dia masih belum bersedia untuk menerima mana-mana pelawat yang ingin menziarahi dirinya dan bayi yang baru dilahirkan.

BACA: Dah Lengkap Sepasang, Mia Ahmad Timang Bayi Perempuan

“Antara cabaran melahirkan anak kedua ini, saya kena lakukan ujian swab COVID-19/ Masa mula-mula nak kena lakukan ujian itu, memang rasa takut tapi selepas dah selesai rupa-rupanya ianya sekejap sahaja dan tidaklah seteruk seperti yang disangkakan.

“Selain itu, susah juga bersalin waktu keadaan macam ni. Orang takut nak datang melawat kita dan kita pun takut nak ajak orang datang tengok,” katanya kepada mStar Online.

Berkongsikan pengalaman menimang cahaya mata kedua, Mia berkata anak perempuannya itu sering bangun tengah malam menyebabkan dia tidak mendapatkan tidur yang secukupnya.

“Alhamdulillah dia sihat sahaja. Tapi biasala baby masih nak menyesuaikan diri dan kita pun sama. Apabila dia bangun tengah malam, saya pun kena bangun.

“Ada ketikanya memang tak cukup tidur dan dalam masa yang sama nak kena jaga diri sendiri juga. Sekarang saya berpantang di Johor Bahru dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Mia mendirikan rumah tangga dengan Izham, yang merupakan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) pada 13 Januari 2017. Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Sayf Issa pada 28 September 2018.