fbpx

“Mereka Bercerai Talak Satu, Kalau Ada Jodoh Boleh Berbaik Semula”

Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa syukur apabila kemelut rumah tangga anaknya Syamsul dan Puteri Sarah berakhir dengan baik.

Memetik mStar Online, Yusof berkata beliau menerima perpisahan anak dan menantunya dengan hati terbuka apatah lagi mereka lakukan demi anak-anak.

BACA: Yusof Haslam Nafi Beraya Dengan Ira Kazar

“Ini perceraian secara baik. Mereka buat demi anak-anak. Jika lakukan secara baik apa yang diharapkan ia tidak menyakiti hati sesiapa.

“Saya pun bosan orang asyik bertanya. Kisah mereka sebelum ini buat ramai orang resah dan wujud persepsi tidak baik, jadi sekarang masing-masing boleh bawa haluan masing-masing dan lupakan apa yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui proses perceraian tersebut serta mengakui hatinya agak sedih.

“Saya sibuk hari ini (Rabu). Tak tahu mereka sudah berpisah. Saya terima keputusan tersebut walau hati agak sedih sebab kalau boleh tidak mahu perceraian. Saya pun dah lama tak berhubung dengan Syamsul,” katanya.

Sementara itu, Yusof berkata beliau akan menjaga hubungan baik dengan Puteri Sarah serta masih berharap mereka dapat berbaik semula sebagai suami isteri.

“Mereka bercerai talak satu, kalau ada jodoh boleh berbaik semula. Sekarang saya harapkan mereka dapat jalankan tanggungjawab dengan baik terhadap anak-anak. Saya dan isteri masih anggap Puteri Sarah sebagai menantu. Tiada sebab untuk kami ketepikan dia,” katanya.