Tiada angin, tiada ribut, hangat diperkatakan mengenai penyanyi Melly Goeslaw di media sosial apabila timbul dakwaan mengatakan dia menjadi punca keretakan rumah tangga individu.

Menerusi portal berita Indonesia, tular apabila seorang individu menggunakan akaun Instagram @pasca.masna memuat naik beberapa video mendedahkan hubungan sulit Melly bersama bekas suaminya.

BACA: Melly Goeslaw Rakam Lagu Berunsur Agama ‘Demi Cinta’ Untuk Filem

Wanita yang dikenali sebagai Masnawati Masud ini menuduh Melly curang dengan suaminya yang bekerja sebagai polis sehingga menyebabkan dia diceraikan.

Menurut wanita itu lagi, dia terpaksa membuat video berkenaan kerana tidak dapat menghubungi Melly untuk menyelesaikan urusan mereka.

“Saya Masnawati Masud. Saya membuat video ini kerana saya sukar menghubungi Melly Goeslaw. Segala upaya saya sudah habis.

“Semoga saudari Melly Goeslaw melihat pesan saya ini agar beliau berkenan bertemu dengan saya perihal urusan kita yang belum selesai. Terima kasih,” katanya.

Dakwa wanita itu lagi, bekas suaminya itu menjalin hubungan sulit dengan penyanyi itu pada 15 tahun lalu.

Walaupun tidak pernah ‘menangkap’ Melly dengan bekas suaminya, namun wanita itu yakin penyanyi berkenaan adalah punca dia diceraikan dan berpisah dengan anak-anak.

Bagaimanapun, tindakan wanita berkenaan dikecam oleh netizen yang beranggapan seolah sengaja mencari publisiti murahan.

Tidak kurang juga, ada yang mengatakan tidak perlu membuka isu lama lebih-lebih lagi jika tidak mempunyai sebarang bukti.

×