fbpx

Mekanisasi Perladangan Tingkat Produktiviti Sawit Tempatan

SEBERANG PERAK: Penggunaan mekanisasi di perladangan turut meningkatkan produktiviti pengurusan perladangan dengan memudahkan kerja membabitkan tenaga fizikal manusia seperti mengangkut buah, membaja, meracun dan lain-lain.

Sehubungan itu, FELCRA Bekalan dan Perkhidmatan Sdn Bhd (FBPSB) juga anak syarikat milik penuh FELCRA Berhad melancarkan DS 3-Wheeler atau Roda 3 juga produk mekanisasi perladangan pemasangan tempatan, dikendalikan sepenuhnya oleh bakat kerja tempatan bermula dari proses pemasangan sehingga siap sepenuhnya.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, hadir untuk merasmikan jentera DS 3-Wheeler yang mana pembangunan jentera itu turut mendapat usahasama dengan syarikat tempatan MRD Global Agro Sdn Bhd.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, hadir merasmikan Jentera Mekanisasi DS 3-Wheeler FBPSB di Pusat Servis Kenderaan Dan Mekanikal Seberang Perak, Perak, baru-baru ini.

Timbalan Menteri 1 itu berkata, pengurusan perladangan yang efektif dapat membantu pengeluaran hasil sawit lebih optimum sejajar dengan permintaan kian meningkat selain harganya juga tinggi.

“Apabila negara dilanda pandemik, keperluan pekerja asing dalam sektor perladangan tidak dapat dipenuhi jadi pengenalan mekanisasi dengan teknologi canggih dapat menggantikan kekurangan bahkan menjimatkan masa dan tenaga manusia.

“Sektor perladangan sawit memberi sumbangan ekonomi tinggi kepada negara dan jentera diperkenalkan ini dapat memberikan kecekapan dari aspek memudahkan kerja bahkan tempoh memetik buah sebagai contohnya dapat dilakukan dengan cepat dan masa yang berganda jika dibandingkan dengan tenaga kerja manusia.

“Malah, pemasangan mesin DS 3-Wheeler juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jentera Mekanisasi DS 3-Wheeler FBPSB di Pusat Servis Kenderaan Dan Mekanikal Seberang Perak, Perak, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor; Pengerusi Lembaga Pengarah FBPSB, Datuk Shahrul Anuwar Sarman dan Ketua Pengarah Eksekutif FBPSB, Datuk Rodzuan Zaaba.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor sasar penggunaan jentera DS 3-Wheeler dapat mengurangkan kebergantungan tenaga manusia dalam sektor perladangan sawit.

Selain itu, pada majlis sama Mohd Nazrul berkata inisiatif mengetengahkan jentera itu adalah untuk membantu industri sawit tempatan dan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja asing akibat pandemik COVID-19.

“Pengunaan mesin ini dapat mengurangkan kos pembiayaan upah sehingga 25 peratus mengikut kadar semasa.

“Teknologi mesin diambil dari China ini sudah menjalankan kajian dan penambahbaikan mengikut kesesuaian industri sawit tempatan.

“Sehingga kini, lebih 60 unit DS 3-Wheeler dipasang dan dipasarkan kepada industri luar. Pemasangan mesin ini sekali gus turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda tempatan terutama anak peserta FELCRA Berhad,” katanya.

Turut berkongsi pendapat, Ketua Mekanik di Pusat Servis Kenderaan dan Mekanikal Seberang Perak, Miskandar Mohayat, berkata proses pembangunan dan pemasangan mekanisasi di laksanakan sepenuhnya di pusat itu sudah pun membuka peluang pekerjaan kepada 30 golongan muda tempatan.

Ketua Mekanik di Pusat Servis Kenderaan dan Mekanikal Seberang Perak, Miskandar Mohayat mahu lebih ramai golongan muda sertai bidang pembangunan teknologi mesin.

“Hampir keseluruhan kerja pemasangan mesin ini dijalankan oleh generasi kedua anak peserta FELCRA Berhad dan banyak lagi projek yang akan diusahakan dalam masa terdekat.

“Saya harap lebih ramai anak muda tempatan dapat berkecimpung dalam bidang pemasangan mekanisasi perladangan bagi membolehkan mereka lebih berdaya saing untuk menghasilkan inivadi dalam memudahkan penggunaan mesin dan meningkatkan industri sawit,” katanya.

DS 3-Wheeler dijangka mampu mengurangkan kos upah pekerja sehingga 25% dari kadar semasa. Ia juga ditawarkan pada harga yang kompetitif di mana ianya turut mampu-milik bagi pekebun kecil.

Demonstrasi penggunaan DS 3-Wheeler yang dapat menjimatkan masa dan memenuhi permintaan sawit tempatan.

DS 3-Wheeler ditawarkan dengan 3 jenis pillihan iaitu DS Blackbull dengan kapasiti engine 300cc; DS Scorpion dengan kapasiti 250cc dan DS Panther dengan kapasiti 200cc

Kapasiti muatan adalah berbeza iaitu 1.5 tan, 800 kilogram (kg) dan 600 kg.

Sehingga Januari 2021, jumlah DS 3-Wheeler terjual adalah sebanyak 37 unit menjadikan jumlah jualan selama enam bulan sebanyak RM574, 084 dan FBPSB mensasarkan jualan sehingga 95 unit iaitu RM 965, 660 bagi tahun ini.