fbpx

McDonald’s Malaysia, RMHC Taja RM1.7 Juta Pek “Kembali Ke Sekolah”

Baru-baru ini telah berlangsungnya satu program penyerahan pek “Kembali Ke Sekolah” kepada murid kurang berkemampuan dan miskin bandar di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar.

Program tahunan McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia ini merupakan satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat McDonald’s bagi membantu murid kurang berkemampuan.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, berkata program ini bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga murid dalam membuat persiapan ke sekolah pada tahun 2019.

“Program Kembali Ke Sekolah ini sangat penting dan bermakna kerana ia memberi bantuan kepada murid-murid sekolah rendah dalam kalangan keluarga miskin bandar, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga yang terlibat.

“Kanak-kanak dan ibu bapa daripada golongan miskin bandar tidak perlu risau mengenai sumber kewangan untuk membeli pakaian seragam dan kasut untuk ke sekolah. Kami di McDonald’s dan RMHC ingin melaksanakan tanggungjawab kami dengan menghilangkan kerisauan yang dihadapi oleh ibu bapa ini, seterusnya membolehkan anak-anak mereka memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan,” katanya.

Rata-rata murid yang terlibat menerima satu set pakaian sekolah baharu yang bernilai RM100 hasil sumbangan McDonald’s Malaysia, RMHC, francaisi dan rakan-rakan perniagaan termasuklah Kerry Ingredients, Guppy Plastic Industry, Eppor-Pack, Aladdin Pacific, McCain International, Aryzta Malaysia.

Program ini turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sekaligus merupakan tetamu kehormat semasa program itu berlangsung.

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada McDonald’s Malaysia, RMHC, francaisi dan rakan-rakan perniagaan mereka yang sama-sama membantu menyediakan keperluan sekolah kepada kanak-kanak dari golongan miskin bandar,” kata Dr Maszlee, sambil menambah bahawa sektor swasta memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi sistem pendidikan negara.

“Semua pihak perlu berganding bahu untuk membangunkan sistem pendidikan yang menyeluruh, mantap dan maju. Ini termasuklah perkongsian dengan sektor swasta untuk menjalankan program-program pembangunan bakat, latihan vokasional, dan sokongan dana,” tambahnya lagi.

Program “Kembali Ke Sekolah” melibatkan lebih 17,000 murid daripada golongan miskin bandar di seluruh negara, melibatkan jumlah sumbangan lebih RM1.7 juta.

Penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” di SK Bukit Bandaraya baru-baru ini turut dihadiri oleh guru-guru dan murid-murid dari 18 buah sekolah lain di sekitar Lembah Klang.