Rangkaian global perkhidmatan makanan segera Mcdonald’s Malaysia membuka peluang pekerjaan kepada individu berusia 17 tahun ke atas menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, berkata peluang pekerjaan yang dibuka ini bagi meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat serta memupuk bakat baharu.

“Insyaallah dengan adanya program perantisan sebegini antara sumber kita mendapat tenaga kerja dan bakat baharu.

“Kami mengalu-alukan individu untuk menyertai program perantisan kami ini dan mereka akan diberi tempoh latihan selama 18 bulan di mana akan diadakan latihan pratikal dan pembelajaran teori dalam kelas, sekiranya lulus mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald’s,” katanya dalam satu sidang media.

Terbaru, rangkaian makanan terbesar ini juga bakal membuka 16 cawangan baharu pada tahun ini di mana rangkaian perkhidmatan makanan segera ini telah pun mempunyai hampir 10 cawangan di Malaysia.

Azmir juga turut menyatakan bahawa pertukaran pekerja akan diadakan antara McDonald’s Malaysia dengan McDoland’s luar negara seperti McDonald’s Singapura, McDonald’s Jeddah dan McDonald’s Qatar.

“Kita mahu tekankan bahawa peluang bekerja di restoran McDonald’s bukan setakat di Malaysia, malah di beberapa negara lain,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat Program Komuniti McDonald’s dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menerusi majlis tersebut sebanyak 3 inisiatif telah diadakan termasuklah penyerahan zakat perniagaan McDonald’s sebanyak RM100,000 kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), penyerahan sijil kepada pelatih SLDN serta pemberian pek ‘Kembali ke Sekolah’ kepada pelajar sekolah.

Program inisiatif ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Negeri Sembilan dengan memberi sumbangan lebih RM 300,000.

Seramai lebih 1,000 murid dari lebih 40 buah sekolah rendah di Negeri Sembilan menerima pek ‘Kembali ke Sekolah’ yang berupa satu set pakaian seragam, sepasang kasut dan sebuah beg sekolah.

Majlis penyampaian inisiatif itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malik di Seremban 2 dan turut hadir pada majlis tersebut adalah Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

×