fbpx

Malu Nak Bersanding, Zizi Kirana Hanya Buat Majlis Kesyukuran

Selepas enam bulan bernikah pada 19 September lalu, pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin diraikan dalam satu majlis resepsi di Melaka, semalam.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak bersanding di atas pelamin dan Zizi berkata acara diadakan itu lebih kepada majlis kesyukuran.

BACA: Zizi Kirana Nak Berduet Dengan Suami

“Malu kami nak bersanding. Sebenarnya, kami lebih pada nak buat majlis kesyukuran dan santai saja. Jadi, kami mahu raikan dengan kaum keluarga dan rakan terdekat. Lagi pun, kami malu bersanding.

“Semalam itu ada keluarga saya datang dari Sabah, keluarga Yusuf, kawan-kawan, anak tahfiz dan beberapa tetamu kenamaan (VIP). Memang itu saja jemputan kami.

“Persembahan pun daripada kumpulan qasidah Ar-Rayyan saja. Pentas yang ada memang untuk qasidah. Selesai majlis, baru kami bergambar dengan keluarga di pentas,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi mengakui ramai bertanya soal bersanding namun mereka memilih untuk melayan para tetamu yang hadir.

“Semalam, masuk dewan kami terus duduk di meja makan beradab. Orang ingat terus ke pentas, tapi tak ada. Memang kami nak macam itu saja. Selalu dah naik pentas. Kali ini, nak lebih bermesra dengan tetamu kami.

“Sampai kumpulan qasidah pun terkejut dan tanya kami tak sanding ke?. Sebab pentas memang untuk mereka saja dan saya menyanyi pun di tepi saja,” katanya.

Sementara itu, Yusuf berkata dia dan isteri sudah memasang niat lebih kepada majlis kesyukuran dan bukan acara persandingan.

“Kami buat majlis tu bukan acara resepsi untuk persandingan kami. Saya dan Zizi niat nak berkumpul dengan keluarga dan sahabat handai saja.

“Lebih kepada nak meraikan tetamu yang sudi hadir. Selepas semua sudah selesai baru kami naik pentas untuk bergambar dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya.