Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 semalam dan hari ini menjadi pentas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperagakan kehebatan Internet 5G Malaysia yang menawarkan kelajuan data mencecah 1Gbps untuk delegasi dan petugas media.
Kepada komuniti ASEAN, MCMC menghantar isyarat tentang kemampuan dan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi digital serantau.
Kepada rakyat Malaysia pula, agensi itu ingin memberitahu, satu masa nanti semua orang berpeluang menggunakan teknologi 5G super laju kerana negara ini mempunyai kemampuan infrastruktur dan kepakaran untuk merealisasikannya.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata berdasarkan data terkini, kita boleh berbangga kerana negara ini menjuarai aspek kelajuan 5G di rantau ASEAN.
Katanya, liputan 5G Malaysia juga sudah hampir menyeluruh pada kadar 82.4 peratus kawasan berpenduduk.
“Berkaitan kestabilan, Alhamdulillah semakin susah nak dengar orang merungut tentang gangguan liputan Internet.
“Maknanya kerja-kerja MCMC untuk memastikan kestabilan liputan Internet itu padu. Kalau liputan meluas tetapi tak stabil, tak ada guna juga,” katanya kepada Rotikaya.

Siraj Jalil
Berkenaan penggunaan teknologi 5G dengan kelajuan 1Gbps pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Siraj berkata ia bukan sahaja membolehkan delegasi dan petugas media menggunakan data Internet yang sangat laju, tetapi selamat.
Beliau berkata, terdapat lebih 1,200 petugas media tempatan dan luar negara pada sidang kemuncak kali ini dan mereka banyak membuat laporan masa nyata dan memproses audio, video dan gambar yang memerlukan sambungan Internet yang kuat.
Katanya, acara-acara penting seperti Sidang Kemuncak ASEAN juga terdedah dengan ancaman siber kerana menarik perhatian penggodam dari seluruh dunia untuk menguji kemahiran masing-masing.
“Isu penggodam, mesti ada yang nak test power. Kalau nak kata tak ada ancaman, itu mustahil.
“Namun saya yakin dengan fungsi keselamatan rangkaian 5G kita. Di bawah MCMC pun ada jabatan khas berkenaan keselamatan rangkaian yang memainkan peranan penting nak pastikan semua yang terlibat dalam ASEAN bukan sahaja dapat liputan yang baik tetapi dipastikan juga selamat daripada ancaman siber,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Siraj menegaskan kejayaan Malaysia menyediakan fasiliti 5G yang berkualiti dipercepatkan oleh Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang terbukti berjaya sehingga menerima pengiktirafan antabangsa.
Katanya, sebelum inisitif JENDELA dimulakan, tahap liputan 5G di negara ini boleh dikatakan tiada namun kini lebih 9.03 juta premis mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi dan gentian optik pada akhir 2024.
“JENDELA adalah plan MCMC yang berjaya. Dalam tempoh hanya beberapa tahun kita dah ada coverage 5G lebih 80 peratus. Sangat cepat.
“Kita kena puji JENDELA, bukan puji kosong kerana inisiatif ini telah menerima anugerah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sempena World Summit on the Information Society (WSIS) 2023,” katanya.

Hasil strategi MCMC menyumbang kepada liputan 5G menyeluruh pada kadar 82.4 peratus kawasan berpenduduk.
Mengenai peluang untuk rakyat menikmati kelajuan 5G sebagaimana Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Siraj berkata kelajuan 1Gbps masih berada dalam fasa belum mampu milik namun yakin lambat laung masanya akan tiba.
Namun beliau mengingatkan perkara positif itu akan hadir dengan pakej ancaman yang perlu diberi perhatian serius.
“Semakin tinggi tekonologi, semakin tinggilah jenayah siber. Grafnya akan meningkat seiring dan mungkin menjadi berganda akibat pengguna yang hanya tahu guna tetapi tidak mengemaskini ilmu tentang keselamatan siber.
“Sikap enjoy dunia teknologi dan rasa selamat, sudah tidak boleh diterima dalam zaman kini. Apabila teknologi canggih, anda kena tahu yang penjenayah pun guna teknologi itu.
“Mereka boleh kaji sikap, emosi dan corak penggunaan kita. Tak susah pun nak buat” katanya.