Insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam, tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang aman damai dan menjunjung kedaulatan undang-undang dengan penguatkuasaan yang efisien.

Katanya, sesiapa sahaja lebih-lebih lagi seorang kanak-kanak tidak wajar menjadi mangsa keganasan.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memberi ruang kepada ketidaktertiban berleluasa.

“Tiada sesiapa apatah lagi seorang kanak-kanak wajar menjadi mangsa keganasan.

“Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara seperti Malaysia yang aman, mempunyai undang-undang dan penguatkuasaan yang efisien.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera dan memastikan keselamatan awam terus terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi Ramli percaya serangan terhadap anaknya satu amaran supaya tidak lantang bersuara

Hannah dalam pada itu menyatakan beliau amat sedih apabila mendapat berita tentang insiden serangan berkenaan.

“Kepada YB Rafizi dan keluarga, saya mendoakan keselamatan serta kesembuhan anak beliau dan agar keluarga ini terus diberi kekuatan menghadapi dugaan,” katanya.

Rafizi dalam kenyataan di media sosial mendedahkan serangan terhadap anaknnya berlaku sekitar 1.45 petang ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut.

Beliau berkata anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

“Hasil semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya sebelum insiden di mana kedua-duanya berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka dan dipercayai telah menunggu sebelum bertindak menyerang pada masa yang sesuai,” katanya.

Katanya, sepanjang menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti itu.

Beliau percaya serangan berkenaan adalah satu amaran kepadanya untuk tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

×