Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber berikutan kekuatan negara dalam sektor digital dan pusat data, selain pendiriannya berhubung isu Palestin dan Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh kerajaan, namun tidak semua butiran berkaitan ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum.
“Malaysia tentunya antara yang dianggap menjadi sasaran. Ada dua perkara (kenapa negara berpotensi jadi sasaran). Pertama, kerana kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data, (kita) antara terkuat, kalau dalam angka terakhir kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah.
“Kedua, kerana pendirian kita dalam beberapa isu yang dianggap kontroversi oleh sesetengah negara terutama Eropah dan Amerika (Syarikat), khususnya soal Palestin dan Gaza,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai sama ada Malaysia menjadi sasaran serangan berdasarkan maklumat risikan kerajaan.
Sehubungan itu, Anwar meminta rakyat kekal tenang tetapi sentiasa berwaspada, selain segera melaporkan sebarang maklumat berkaitan pencerobohan atau gangguan digital dan teknologi.
“Tenang tapi harus waspada. Jika ada apa-apa maklumat mengenai pencerobohan atau gangguan dari segi digital dan teknologi, ini harus dimaklumkan segera.
“Bagaimanapun, saya fikir, jika kita panik, hal itu akan melemahkan kekuatan kita,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam bagi meneliti implikasi serangan hibrid, digital dan siber serta ancaman keselamatan yang berlaku di beberapa negara.
Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan mekanisme sedia ada dan keperluan penyelarasan lebih rapi antara kementerian, agensi serta pasukan keselamatan bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurutnya, beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun turut mengeluarkan arahan serta nasihat kepada rakyat masing-masing supaya menyimpan stok bekalan makanan antara tiga hingga 10 hari.
Beliau turut mendedahkan kegiatan beberapa badan risikan luar negara termasuk Israel yang beroperasi di negara jiran, selain kewujudan penempatan warga Israel di Phuket dan selatan Thailand yang dilihat badan risikan Malaysia sebagai potensi ancaman kepada negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau meminta Ketua Pengarah MKN mengadakan taklimat khas secara tertutup kepada semua ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari bagi menjelaskan perkembangan terkini ancaman keselamatan negara, sekiranya mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Malaysia belum sampai ke tahap memerlukan mesyuarat tergempar, namun kerajaan memantau perkembangan ancaman keselamatan setiap hari.
“Jika semalam keputusannya mendesak, saya akan panggil mesyuarat tergempar segera, tak tunggu Jumaat dan keadaan ini, kita pantau saban hari sekarang,” katanya.