Pelakon veteran, Mak Wan menjelaskan dia terlalu terkejut sehingga pengsan apabila diumumkan antara 25 individu bertuah menerima sumbangan tajaan pakej menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.

Mak Wan, 58, atau nama sebenarnya, Halimaton Saadiah Mohd Daud berkata, dia sangat bersyukur kerana doanya untuk ke Tanah Suci sekali lagi dimakbulkan Allah. Merasakan diri sangat kerdil, Mak Wan berkata dia tidak sangka dijemput lagi untuk menjadi tetamu Allah.


BACA: Permohonan BPN Tidak Lulus, Mak Wan Jual Kuih Tart Sara Hidup

“Saya tak sangka doa mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah sekali lagi dimakbulkan Allah SWT. Sebelum ini, saya pernah menunaikan umrah pada 2015, tetapi ketika itu saya dalam keadaan kurang upaya selepas kemalangan.

“Jadi, apabila diberikan peluang untuk menunaikan umrah sekali lagi, saya sangat bersyukur. Saya terharu, rasa seperti insan paling bertuah. Walaupun miskin dan tidak berkemampuan, dapat juga saya menjejakkan kaki ke rumah Allah atas tajaan insan berhati mulia,” katanya kepada BH Online.

Difahamkan, baru-baru ini Mak Wan dijemput ke program bual bicara yang dikendalikan oleh pengacara Didie Alias. Bagaimanapun, Mak Wan langsung tidak tahu menahu dijemput untuk diberikan sumbangan tajaan berkenaan.

“Sememangnya, saya tidak tahu. Saya datang selepas dijemput Didie untuk menonton programnya. Saya menaiki Grab ke lokasi dan sampai sahaja, saya diserang sesak nafas. Saya mempunyai sakit asma, jadi mudah semput.

“Kemudian, saya dipanggil Didie dan diserahkan ‘mock-up’ sumbangan tajaan umrah. Saya terkejut, lalu jatuh dan pengsan buat seketika hingga dikejutkan oleh Enot.

“Alhamdulillah, rezeki saya. Saya dikatakan akan pergi selepas pandemik COVID-19 ini berakhir, mungkin sekitar tahun hadapan,” katanya.