fbpx

Mak Wan Latah Sedih Hampir Setahun Tiada Job

Pelakon veteran Mak Wan Latah tidak menolak kemungkinan dia sukar mendapat tawaran berlakon selepas terpalit dengan beberapa kontroversi sebelum ini.

Memetik BH Online, Mak Wan berkata dia pernah merayu kepada pihak produksi untuk memberikannya peluang pekerjaan namun ditolak dengan beribu alasan.

BACA: Mak Wan Menangis Hidup Susah, Nak Beli Ubat Pun Tiada Duit

“Buat masa ini, saya tidak buat apa-apa, sudah lama tidak menjalani penggambaran drama. Saya tidak tahu apa alasan, cuma mungkin ada kaitan dengan kontroversi lalu.

“Apa yang berlalu biarlah berlalu. saya tidak mahu ingat lagi. Saya kena bina semula hidup walaupun akaun bank pun tinggal kosong.

“Apa yang ada dalam fikiran saya tawaran berlakon kerana saya perlukan duit untuk bayar rumah, kereta dan membeli ubat-ubatan.

“Saya pernah bertanya peluang tawaran berlakon, namun jawapan yang diberikan pihak produksi adalah pilihan pelakon ditentukan stesen televisyen (TV) dan jumlah pengikut media sosial,” katanya.

Malah, Mak Wan turut kesal melihat produksi sering memberikan tawaran kepada orang yang sama sehingga pelakon sepertinya sukar mendapat pekerjaan.

“Saya sudah 24 tahun berlakon, tetapi bila ditanya, alasan stesen TV minta nak tengok media sosial. Mereka hanya ambil nama besar sahaja. Saya bukannya dengki, tetapi apa salahnya berkongsi rezeki.

“Ini tidak, balik-balik wajah sama. Apa jadi dengan kami yang tiada peluang pekerjaan ini. Dapat berlakon satu episod pun saya sudah bersyukur,” luahnya.

Dalam pada itu, Mak Wan turut berkongsikan dia kini berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual barangan makanan bagi menampung kehidupan.

“Sebelum ini, saya berniaga di Uptown. Malam ini, saya akan ke Pulau Pinang untuk berniaga pelbagai jenis makanan termasuk sambal hitam, biskut dan bawang goreng.

“Sudah mula berniaga sejak lima tahun lalu. Kalau saya tak berniaga, siapa nak bagi saya makan. Takkan nak minta dengan anak-anak. Mereka juga ada komitmen sendiri,” katanya.