Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan pelawak, Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya berhubung bayaran ganti rugi saman fitnah terhadap kakak iparnya, Nor Hidayah.
Memetik Harian Metro, Ali Puteh dan tiga keluarganya diperintah membayar RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey pada 18 Februari lalu kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.
BACA: Netizen Masih Mengecam, Tak Mahu Sokong Karier Ali Puteh
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh turut menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan mahkamah sama yang menolak tuntutan samannya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah.
Sementara itu, rayuan Siti Nor Hidayah untuk menaikkan jumlah ganti seperti yang diperintahkan mahkamah pada 18 Februari lalu selepas membenarkan tuntutan samannya, turut ditolak.
Peguam yang mewakili Ali Puteh berkata setakat ini beliau tidak menerima apa-apa arahan susulan daripada anak guam sama ada untuk mengemukakan rayuan.
Dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom hari ini, Siti Nor Hidayah diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad.
Terdahulu, Norhidayah memfailkan saman keseluruhan berjumlah RM900,000 terhadap Ali Puteh sekeluarga, antara lain menuduh bekas adik iparnya itu mengambil harta Abam dan harta anak yatim.
Hidayah juga turut memfailkan tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.
Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman fitnah terhadap Norhidayah dan Aliff Syukri.