Pengarah drama Madu Atau Racun iaitu Eyra Rahman berkata tiada babak daring mahupun keterlaluan di paparkan dalam naskah berkenaan.

Memetik Utusan Online, Eyra berkata babak dipaparkan masih tertakluk garis panduan yang ditetapkan termasuk pemantauan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF). Menurut Eyra lagi, ada babak dipaparkan menggunakan teknik cheat shot untuk menampakkan ianya seperti realiti.

BACA: JPM Tegas Tolak Tayangan Drama ‘Madu Atau Racun’

“Sebenarnya, tidak ada ‘daring’ mana pun. Kita tahu banyak babak yang tidak akan lepas. Walaupun ditayangkan di OTT, LPF tetap ada batas-batasnya.

“Apa yang penonton lihat itu hanyalah teknik penggambaran atau ‘cheat shot’ untuk menampakkan babak tersebut seolah-olah realistik.

“Saya sendiri secara peribadi tidak selesa menghasilkan babak yang terlalu berani. Saya sudah maklumkan kepada penerbit dan pihak iQIYI bahawa imej yang saya bawa tidak bersesuaian dengan elemen sebegitu,” katanya.

Sementara itu, Eyra berkata babak yang dihasilkan mengikut skrip dan dia akan bertanya terlebih dahulu sama ada adegan tersebut lepas untuk dipaparkan atau tidak.

“Saya ikut skrip. Saya tidak mencipta babak berdasarkan fantasi sendiri. Malah, setiap kali ingin menghasilkan babak sensitif, saya akan bertanya terlebih dahulu sama ada ia boleh melepasi tapisan atau sebaliknya.

“Sebagai pengarah, saya perlu menjaga naskhah supaya tidak tersasar. Kita tahu penonton kita tidak akan menerima jika sesuatu itu keterlaluan. Jadi, buat apa saya mencipta kontroversi murahan yang akhirnya hanya mengundang kecaman?” katanya.

Sumber: Utusan Online

×