Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang didakwa menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat.
Menerusi satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata pihaknya kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurutnya ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tatasusila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni berkenaan.
Tambahnya lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan berkenaan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Kata Zulkifli lagi, langkah itu penting bagi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejaskan keharmonian norma masyarakat,” katanya