fbpx

“Maaf Kerana Pernah Jadi Contoh Tak Baik Pada Masyarakat”

Baru saja pulang dari menunaikan umrah beberapa hari lalu, Uqasha Senrose tidak mahu lagi dirinya terpalit dengan kontroversi panas seperti sebelum ini. Uqasha memberitahu dia mahu membuka buku baru dan menjalani hidup lebih tenang.

Akui kontroversi terdahulu memberi kesan buruk pada kariernya, kisah lalunya itu memberi pengajaran dan pengalaman untuk dirinya berubah menjadi insan lebih baik.

BACA: Uqasha Senrose Menangis Di Mekah Terkenang Dosa Lalu

“Cukup-cukuplah kontroversi dan kisah panas yang boleh menenggelamkan kerjaya seni. Saya mahu menguatkan hati untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang mungkin boleh merosakkan diri.

“Apa yang sudah berlaku bukanlah sesuatu yang patut disesali kerana ia banyak pengajaran. Kata orang, sebaik-baik ilmu itu adalah pengalaman. Saya minta maaf kerana pernah menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat. Ketika itu saya belum matang dan mudah bertindak tanpa memikirkan dahulu apa akibatnya,” katanya kepada Utusan Online.

Kata Uqasha lagi, bukan mudah untuk mengubah pandangan orang ramai terhadap dirinya, namun dia tidak mahu berubah kerana mulut-mulut orang tetapi biarlah ikhlas kerana Allah. Apa pun kita doakan yang baik-baik buat Uqasha dan semoga terus istiqamah untuk berubah.