LPG Bersubsidi: Kerajaan Madani Terjemah Semangat Berpaksikan Rakyat

Kerajaan MADANI menterjemahkan semangat kerajaan yang berpaksikan rakyat apabila memberi kelonggaran dan membuat penambahbaikan dalam isu penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi oleh peniaga mikro dan kecil sektor makanan dan minuman.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd. Azamanizam Baharon berkata, keputusan membenarkan peniaga berkenaan menggunakan LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 dilaksanakan adalah bertepatan dengan situasi semasa.

Katanya, ia menunjukkan Kerajaan MADANI bukan sahaja membuat dasar tetapi sedia mendengar dan membetulkan dasar yang memberi kesan kepada rakyat, khususnya peniaga kecil dan penjaja yang menjadi tulang belakang ekonomi komuniti.

“PERDASAMA menyambut baik dan menyokong penuh pendekatan prihatin kerajaan yang tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Pindaan kepada PPKB pada tahun 2021 sebelum ini dibuat tanpa mempertimbangkan kesan besar kepada peniaga mikro seperti penjual nasi lemak, goreng pisang dan air balang yang sangat bergantung kepada LPG bersubsidi dalam operasi harian mereka.

“Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak menuding jari menyalahkan dasar terdahulu, sebaliknya mengambil langkah penyelesaian yang cepat dan berkesan demi kelangsungan hidup peniaga kecil.

“Inilah semangat kerajaan yang berpaksikan rakyat,” katanya kepada Rotikaya.

Mohd. Azamanizam Baharon

Sementara itu, Mohd. Azamanizam berkata PERDASAMA menyokong penuh Ops GASAK yang bertujuan mengekang ketirisan subsidi yang banyak merugikan negara.

Jelas beliau, Ops GASAK bukannya berniat menekan penjaja kecil tetapi untuk memastikan subisidi kerajaan dapat disasarkan kepada kelompok yang layak menerimanya.

“PERDASAMA menyokong penuh pelaksanaan Ops GASAK oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membanteras penyelewengan LPG bersubsidi oleh pihak industri dan kartel besar.

“Ops GASAK bukan untuk mengganggu penjaja kecil, tetapi untuk menutup lubang ketirisan subsidi negara yang dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Subsidi adalah hak rakyat, bukan untuk dimonopoli oleh syarikat besar,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Azamanizam menyeru semua ahli dan komuniti perniagaan kecil untuk terus menyokong langkah kerajaan dalam memastikan keadilan ekonomi ditegakkan dan subsidi dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman dibenarkan terus menggunakan LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu PPKB 2021 dimuktamadkan Oktober ini.

Sepanjang tempoh peralihan itu, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap golongan peniaga berkenaan, jelasnya.

“Malah, mereka dibenarkan memperoleh bekalan LPG bersubsidi seperti biasa walaupun tanpa permit, selagi pindaan belum dimuktamadkan,” katanya.

Armizan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan syor KPDN untuk meminda peraturan tersebut yang mula dikuatkuasakan pada 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Keputusan terbaharu kerajaan memberi kelegaan kepada penjaja makanan dan minuman

Berdasarkan peruntukan undang-udang sedia ada, terdapat sekatan had kepada peniaga  bagi pemilikan dan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

Kata Armizan, pindaan itu antara lain mengambil kira keperluan peniaga makanan dan minuman berskala kecil dan mikro secara bersasar, selain memastikan kejelasan undang-undang dalam aspek pematuhan serta penguatkuasaan.

Proses proses pindaan akan diselaraskan menerusi sebuah Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan 1 Mei lalu dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN serta melibatkan kementerian dan agensi berkaitan.

“Pindaaan berkenaan dijangka dimuktamadkan sebaik sahaja Ops Gasak tamat pada 31 Oktober ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan itu tetap diteruskan bagi membanteras ketirisan LPG seperti kegiatan ‘decanting’ haram dan penyalahgunaan oleh pihak industri.

“Laporan Ops Gasak ini akan dijadikan asas penting dalam penyediaan undang-undang lebih jelas, bersesuaian dan inklusif, khususnya melibatkan peniaga kecil yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

 

×