fbpx

Lisdawati Setiap Hari Berdoa Foto Tak Bertudung Tidak Disiarkan

Mula mengenakan tudung pada tahun 2013, pelakon Lisdawati mengakui setiap hari dia berdoa supaya cerita lama tentang dirinya iaitu sebelum berhijrah dan tidak bertudung tidak lagi disiarkan di kaca televisyen mahupun media sosial.

Menerusi perkongsian di Instagram, Lisdawati berkata dia sudah banyak membuang dan membakar gambar-gambar lama. Malah, isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu turut meminta agar tidak menyiarkan gambar-gambar lamanya.

BACA: Lisdawati Selamat Lahirkan Bayi Lelaki

“Banyak gambar lama yang saya sudah buang dan bakar. Tiba-tiba terkeluar keratan ini. Masih ada lagi yang terselit.

“Teringat pada beberapa peminat yang paparkan gambar lama saya. Saya mohon maaf sangat dan minta tidak disiarkan gambar saya yang lama. Kalau nak simpan pun, jom kita jaga sama-sama kita. Conteng sikit mana yang perlu,” katanya.

Lisda berkata, jika diberi peluang dia mahu memadam semua gambar dan video yang memaparkan dirinya tidak bertudung. Lisda turut mendoakan agar Allah mengampunkannya di atas kesalahan lalu itu.

“Kalau mampu nak saja saya padam semua gambar dan video saya yang jahil dulu. Setiap berdoa supaya cerita lama saya tak disiarkan. Semoga Allah SWT terima taubat saya. Maaf sekali lagi atas kesalahan saya,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Lisda memuat gambar bersama beberapa artis wanita ketika menjayakan sesi fotografi sebuah majalah hiburan satu ketika dulu. Lista turut menconteng bahagian kepala ketika itu dia belum bertudung.