fbpx

Linda, Beego Akui Bercerai Tapi Rujuk Semula

Pasangan selebriti, Beego dan Linda Hashim mengesahkan pernah bercerai pada 27 Mac lalu namun rujuk semula pada 9 April ketika masih dalam edah.

Memetik Harian Metro, Linda berkata perceraian berlaku disebabkan tiada persefahaman selain kurang berkomunikasi dan bukan kerana orang ketiga.

BACA: 15 Ahli Keluarga Beego Dijangkiti Covid-19

Sementara itu, Beego berkata apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka merupakan asam garam dalam perhubungan setiap rumah tangga dan bersyukur dapat menyelamatkan perkahwinan mereka.

“Saya percaya, setiap pasangan yang berkahwin itu akan berhadapan ujian-ujiannya. Lima tahun awal (berkahwin) diuji dengan persefahaman dan untuk 10 tahun perkahwinan pula diuji perkara lain.

“Apapun, saya bersyukur kami boleh berbaik semula dalam tempoh yang singkat dan dapat menyelamatkan rumah tangga ini semula demi perasaan kami dan anak-anak,” katanya.

“Perceraian kami bukan disebabkan oleh penyondol (orang ketiga). Begitu juga, bukan kerana masalah kewangan sebagaimana dihadapi pasangan lain.

“Macam yang saya katakan, kami memang berhadapan masalah persefahaman dalam komunikasi. Ia berpunca, mungkin kerana banyak perkara yang masing-masing pendam di dalam hati sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Beego akui agak terkejut apabila masalah rumah tangga mereka diketahui pihak media kerana mereka tidak pernah berkongsi apa yang dihadapi di media sosial.

“Saya terkejut kedatangan kami ke mahkamah pagi ini diketahui media. Ini kerana, saya berusaha menyembunyikan kisah rumah tangga kami kerana melihat ramai pasangan selebriti kini berhadapan masalah rumah tangga,” katanya.

Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, Anggun Cassandra dan Indah Camelia.