Sebut sahaja nama Kasih Iris Leona, pasti ramai tahu anak gadis kepada pelakon Azhar Sulaiman sering menjadi perhatian kerana penampilannya yang agak seksi sehingga mengundang rasa kurang senang netizen.
Memetik Utusan, Leona bagaimanapun tidak terkesan dengan kecaman netizen. Ujarnya, tidak perlu melayan kata-kata negatif tersebut kerana hanya akan membawa kemudaratan.
BACA: Kerap Ulang Alik UK-KL, Leona Guna Duit Sendiri
“Netizen berhak berkata apa yang mereka mahukan. Saya tidak kisah, sebab saya tidak kenal mereka. Komen negatif netizen tidak relevan untuk saya. Sebab itu saya tidak membaca, apatah lagi membalas di media sosial. Hidup jadi lebih tenang.
“Berdiam lebih baik, jangan sesekali memberi respons kerana ia hanya membuka lebih banyak ruang kepada netizen untuk mengecam,” katanya.
Dalam pada itu, Leona berkata bapanya turut menasihatkannya supaya tidak ambil peduli dengan komen jahat netizen serta menganggap ianya sebagai lumrah hidup orang terkenal.
“Bukan baru semalam saya dikecam. Lepas tamat persekolahan lagi saya sudah hadap perkara ini hanya disebabkan saya anak seorang aktor terkenal.
“Saya kurang pasti kenapa saya dikecam. Dulu, apabila tersepit antara kontroversi, saya tampil menyerang balas komen di media sosial.
“Sehinggalah bapa saya sendiri yang nasihatkan, terima secara terbuka komen negatif orang kerana ia sebahagian rencah hidup orang terkenal,” katanya.