fbpx

Lelaki Ceroboh Rumah Nabil Ahmad Untuk Makan, Tidur Didenda RM3,000

Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau hari ini kerana menceroboh rumah pelakon dan pengacara Nabil Ahmad.

Memetik BH Online, tertuduh Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31 tahun dari Rembau, mengaku salah melakukan perbuatan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

BACA: Nabil Ahmad Seronok Tengok Anak Pakai Tudung

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam 7.50 malam, 4 Januari 2022 bertempat di Kampung Senama Tengah, Rembau.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Majistret turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan sekiranya gagal untuk membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kes, tertuduh masuk ke dalam rumah berkenaan secara menolak pintu dengan kuat, selain makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan.

Sebaik dimaklumkan rumah berkenaan diceroboh, adik kepada Ahmad Nabil yang ditugaskan menjaga kediaman itu bergegas memeriksa kediaman itu sebelum dan mendapati kejadian itu adalah benar.

Pemeriksaan menjumpai sehelai baju t-shirt, tiga helai seluar tracksuit dan sepasang kasut dan di dalam poket track suit turut ditemui MyKad milik tertuduh.