Selepas melahirkan anak sulungnya lima bulan lalu, Fouziah Gous menganggap adalah lebih nikmat jika beliau sendiri menguruskan penjagaan anaknya, Muhammad Zeeshan tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah. Malah beliau juga tidak tertekan dengan perkara itu.
BACA: Fouziah Gous Buka Akaun Instagram Untuk Kongsi Perkembangan Anak
“Setakat ini segala perihal penjagaan anak saya uruskan sendiri, ia fasa yang sangat menyeronokkan biarpun ada kalanya berasa penat. Saya lebih selesa menjaga sendiri dari menggunakan khidmat pembantu rumah, dapat menimba pengalaman yang dilalui ibu saya dulu”
“Ianya satu nikmat yang tidak terhingga anugerah Tuhan kepada saya sebagai wanita. Kini baru saya benar-benar faham naluri dan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Ternyata pengorbanan seorang ibu kepada anaknya terlalu besar,” katanya kepada Harian Metro.
Bercakap soal kesihatan pula, Fouziah akui beliau sangat komited dalam melakukan amalan berpantang dengan cara yang betul. Kongsinya lagi, beliau hanya menjaga pemakanannya dengan betul tanpa mengamalkan amalan diet oleh kerana anaknya yang masih menyusu badan.
Patutlah Fouziah kelihatan kurus sahaja walaupun sudah melahirkan anak. Malah beliau turut memberitahu ketika mengandung berat badannya pernah mencecah sehingga 64 kilogram namun sekarang sudah mulai turun kepada 50 kilogram dimana berat yang ideal untuk beliau. (rkty/w)





