fbpx

“Lebih Baik Saya Takut Dengan Askar Israel”

Menerusi satu perkongsian semalam, penyanyi rap Caprice mengakui rasa tidak selamat di Jordan dan takut untuk pulang ke tanah air serta mengatakan sudah mengoyakkan tiket untuk balik ke Malaysia.

Ia berikutan PDRM memaklumkan telah meminta bantuan Interpol bagi berhubung dengan dirinya dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri.

BACA: Luah Rasa Tak Selamat, Caprice Takut Nak Balik Malaysia

Bagaimanapun, dalam satu entri terbaru Caprice berkata dia telah memberi kerjasama kepada PDRM dan menafikan dakwaan ramai bahawa kedudukannya turut dikesan Interpol.

“Pagi tadi pegawai penyiasat atau inspektor akhirnya menghantar pesanan WhatsApp dan menelefon saya. Sebenarnya, Interpol tak cari pun saya.

“Laporan media tidak betul dan tajuk berita semua buat nampak macam ada kes luar biasa sampaikan orang komen umpama saya ini hilang atau sedang melarikan diri.

“Alhamdulillah, semua okey. tiada kes jenayah pun yang dibuka. IPD Wangsa Maju hanya nak minta keterangan saya,” tulisnya.

Menerusi perkongsian video di Insta Story, Caprice berkata dia hanya memberi keterangan kepada pihak polis. Ujarnya, dia akan kembali ke Malaysia selepas menyelesaikan beberapa perkara di Mesir.

“Kalian semua, ini bukan kes 1MDB, Jho Low, Macau Scam atau apa. Ini hanya saya perlu bagi kenyataan kepada IPD Wangsa Maju.

“Kalau saya takut, lebih baik takut dengan askar Isreal yang hanya berapa ratus kilometer sahaja. Lebih baik saya takut dengan mereka (askar Israel).

“Harapnya, selepas saya selesaikan beberapa lagi perkara di sini, saya akan selamat baik Malaysia. Saya pun dah penat nak terangkan kepada Malaysia apa saya buat di sini,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Caprice baru sahaja berhubung dengan pegawai penyiasat setelah pihak Interpol menghubunginya.

Terdahulu, Ebit Liew membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadapnya menerusi laman sosial.