Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan rogol terhadap pendakwah bebas, Da’i Syed berikutan pengadu lewat membuat laporan polis selama 441 hari.
Memetik BH Online, dalam penghakiman majoriti 2-1 dibacakan Hakim, Datuk Azman Abdullah, Mahkamah Rayuan berpendapat, mahkamah terdahulu terkhilaf melampau dan tersalah arah dalam dapatannya, sehingga mewajarkan ia (Mahkamah Rayuan) campur tangan.
BACA: Dai Syed Menangis, Kini Bebas Daripada Tuduhan Merogol
Menurut Azman, mahkamah turut meneliti kelakuan mangsa sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk komunikasi di antara mangsa dan perayu (Da’i Syed) menerusi WhatsApp dan Instagram.
Sementara itu, peguam perayu berkata anak guamnya tidak pernah menafikan berlaku hubungan seks dengan mangsa namun menegaskan atas kerelaan wanita itu.
Pembelaan turut membangkitkan mangsa tidak menunjukkan sebarang usaha melarikan diri
Azman berkata, pembelaan berhujah, mangsa ada beberapa peluang untuk meninggalkan perayu atau meminta bantuan, termasuk ketika mereka makan di sebuah restoran selama kira-kira tiga jam.
Malah mangsa didakwa tidak membalas panggilan serta mesej rakan serumahnya, ketika berada di ruang tamu rumah perayu selama kira-kira 30 minit ketika perayu membuat panggilan telefon.
Katanya, pembelaan turut membangkitkan mangsa tidak menunjukkan sebarang usaha melarikan diri, menjerit meminta bantuan atau mengalami kecederaan fizikal seperti lebam dan kesan kekasaran.
“Sebaliknya, mangsa memilih untuk bermalam di rumah perayu sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab. Pengadu juga didakwa menghantar mesej memaklumkan sudah selamat tiba kepada perayu selepas pulang.
“Selain itu, rekod komunikasi antara September hingga Disember 2019, menunjukkan mangsa beberapa kali memulakan perbualan, mendapatkan perhatian perayu, memujinya dan mengajak lelaki itu berjumpa lagi.
“Pembelaan berhujah laporan polis hanya dibuat pada 25 November 2020, iaitu 441 hari selepas kejadian, selepas hubungan komunikasi antara mereka semakin renggang dan isu berkenaan mula tular di media sosial,” katanya.
Mangsa sebelum ini disahkan mengalami gangguan kemurungan major dengan simptom keresahan
Dalam pada itu, mahkamah turut meneliti keadaan kesihatan mental mangsa yang mempunyai sejarah mengalami kemurungan dan menerima rawatan psikiatri serta diberikan ubat bagi merawat kemurungan dan menstabilkan emosinya.
“Bagaimanapun, mahkamah berpendapat faktor kemurungan atau kenaifan mangsa tidak boleh secara automatik digunakan untuk menafikan kerelaan dalam hubungan seks.
“Elemen utama kesalahan rogol adalah ketiadaan kerelaan mangsa, oleh kerana perbuatan persetubuhan diakui perayu, isu perlu dibuktikan pendakwaan melampaui keraguan munasabah, ialah sama ada ia berlaku tanpa kerelaan mangsa.
“Selepas meneliti keseluruhan rekod rayuan serta hujahan bertulis kedua-dua belah pihak, mahkamah berpendapat pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Sumber: BH Online