Kerajaan menegaskan kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery berpunca daripada satu penipuan yang dirancang, termasuk manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan syarikat berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan pelaburan itu dibuat mengikut rangka kerja tadbir urus KWAP yang merangkumi proses penilaian, kelulusan dan pemantauan secara menyeluruh, termasuk usaha wajar bebas serta semakan aspek kewangan, perundangan dan operasi.

Katanya, cadangan pelaburan berkenaan juga disokong oleh maklumat yang ketika itu telah disahkan melalui penyata kewangan yang diaudit oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.

“Namun demikian, pelaburan eFishery ini merupakan satu penipuan terancang (fraud) dan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kerajaan menjelaskan bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan serta pengurusan tertinggi KWAP susulan kerugian pelaburan membabitkan dana persaraan penjawat awam.

KWAP sebelum ini dilaporkan melabur AS$47.7 juta, bersamaan kira-kira RM200 juta, dalam eFishery pada Julai 2023.

Syarikat pemula niaga itu kemudian didedahkan terbabit dalam penipuan kewangan manakala pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Indonesia tahun lalu selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Anwar berkata, selain KWAP, pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa terkemuka seperti Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar yang masing-masing mempunyai proses penilaian serta tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa.

Susulan penemuan penipuan itu, katanya, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa langkah segera, termasuk memulakan tindakan undang-undang, membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan serta meneruskan usaha mendapatkan semula dana pelaburan.

Dalam masa sama, KWAP turut melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan yang berkaitan sebelum hasilnya dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian lanjut.

“Susulan perbincangan tersebut, tindakan susulan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi,” tegasnya.

Beliau berkata, langkah penambahbaikan juga telah dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan serta melindungi kepentingan dana persaraan penjawat awam daripada berdepan risiko sama pada masa depan.

“KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti,” jelasnya.

×