fbpx

KPWKM Sasar 20,000 Sukarelawan Berdaftar Tahun Depan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sehingga 20,000 golongan belia untuk menjadi sukarelawan berdaftar tahun depan.

Datuk Seri Rina Mohd Harun selaku Menterinya ada berkata yang setakat ini jer kira-kira 11,000 sukarelawan dah pun berdaftar. Mereka ini bukan sahaja berperanan membantu tapi juga memupuk kasih sayang, mengambil berat dan prihatin terhadap golongan memerlukan.

Katanya juga, kerajaan turut menaikkan elaun sukarelawan secara one-off daripada RM150 sehingga RM400 dalam Belanjawan 2021. Ini juga nak menggalakkan golongan muda menyertai sukarelawan.

“Menerusi program itu, sukarelawan bukan hanya terbabit sebagai Khidmat Bantu di Rumah (Home Help), malah membantu orang ramai yang terkesan ketika musim banjir,” katanya ketika Program Rakan Muda ‘Give Back’ Mendekati Golongan Yang Terjejas di Kampung Salak Tinggi semalam.

Rina berkata, penambahan jumlah sukarelawan itu juga dapat membantu orang ramai yang terjejas dan berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, golongan itu juga berperanan sebagai mata dan telinga kementerian bagi menyalurkan maklumat dan kesusahan dihadapi masyarakat.

“Sukarelawan yang menyertai program ini akan diberi latihan supaya mereka mempunyai kemahiran dan dapat berinteraksi secara baik dengan semua golongan masyarakat.

“Kita tidak mensasarkan had usia untuk menyertai program ini, malah ketika ini ada dalam kalangan sukarelawan berusia 15 tahun yang terbabit dalam Program Rakan Muda KBS,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Wasitah Mohd Yusof.

Program anjuran KPWKM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan diadakan sempena Sambutan Hari Kesukarelawanan Antarabangsa yang ditetapkan pada 5 Disember oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada setiap tahun.

Sukarelawan Khidmat Bantu di rumah kebajikan itu komited membantu pelanggan dalam kalangan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang memerlukan perkhidmatan sokongan sosial.

Kredit: MyMetro