Empat kali berdepan kegagalan dalam rumah tangga, baru-baru ini pelakon Natasha Hudson memberi bayangan seolah bakal menamatkan zaman solo. Menerusi Instagram, Natasha memuat naik perkongsian akan ada perkara baik yang bakal berlaku.
Dalam entri tersebut, Natasha turut berkongsikan satu tarikh iaitu pada 14 Oktober 2020 serta memuat naik separuh foto pasangan lelaki dan perempuan yang menampakkan sebentuk cincin.
BACA: Natasha Hudson Akui 9 Bulan Menderita, Dua Kali Keguguran
“Apa yang akan datang lebih baik daripada yang ada di sini sekarang. Hargai apa yang anda miliki, jadi seorang yang jujur, setia, penyayang dan ia akan kekal.
“Jadilah orang yang baik. Semua kecantikan terletak di dalam diri anda,” tulisnya.
Meskipun tidak mengetahui kesahihan perkara itu, di ruangan komen rata-rata netizen sudah mula menitipkan ucapan tahniah dan juga mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.
Dalam pada itu, portal Gempak cuba menghubungi Natasha namun, nombor telefon yang dihubungi sudah tidak digunakan lagi.
Sebelum ini, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 dan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007. Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.
Pada Oktober 2018, Natasha mengakui telah bercerai dengan bekas suaminya, Carleed Khaza yang dinikahi pada April 2012 buat kali ketiga. Menerusi perkahwinan keempat Natasha mendedahkan dia sudah bercerai dengan Noor Nashriq Sekarnor tahun lalu.