Sama sekali tidak menyangka parodi gwiyomi yang dirakam Nora Danish sekadar suka suka tidak berapa lama dahulu mendapat pujian dari pemilik asal lagu tersebut, Hari. Malah menyifatkan parodi terbaik pernah ditonton olehnya.

Nora Danish juga terharu dan tidak menyangka Hari telah menonton semua parodi gwiyomi yang telah dirakam. Malah sebelum pulang ke Korea, Hari sempat menyatakan hasrat untuk adakan kolaborasi bersama Nora Danish.

“Saya suka parody yang dilakonkan Nora Danish dan dia sangat comel. Kalau diberi peluang berjumpa dia, saya mahu melakukan gaya gwiyomi bersama-sama dengannya,” memetik kata-kata Hari sewaktu dia hadir Malaysia baru baru ini.

Namun kerana jadual yang bertindih, Nora Danish dan Hari tidak sempat berjumpa.

Dalam perkembangan lain, selain tersenarai dalam top 5 pencalonan Anugerah Skrin 2013, Nora Danish kini sedang sibuk dengan pementasan teater berjudul Bahayanya Wanita yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Disember ini.

“Kerana teater ini, Nora menolak semua tawaran lain yang datang. Nora nak tumpukan perhatian penuh kepada teater ini. Tak dapat fokus pada perkara lain, risau.”

Beritahu Nora lagi, cabaran besar buatnya dalam Bahayanya Wanita apabila kebolehan beliau untuk menyanyi diuji. Teater tersebut memerlukan Nora untuk menyanyi.

“Kena menyanyi tu paling sukar sangat bagi Nora. Sebab Nora bukan penyanyi. Ini teater muzikal. Tapi syukur produksi bagi lagu yang mudah untuk Nora. Tapi sebelum tu, sekarang Nora wajib pergi karaoke je, praktis,” ujarnya ketawa.

Nora kini dilihat lebih matang dalam setiap watak yang dilakonkan. Tidak seperti watak dia sebelum sebelum ini, yang lebih menonjolkan sisi comel dan manja Nora.

Bukan kerana terlampau selektif tetapi diusia menginjak 30’an, dia harus lebih matang dalam memilih dan melakonkan watak.

“Ya, Nora memang mencari skrip & watak supaya nampak lebih matang. Lagipun Nora dah segan nak melakonkan watak watak comel. Sekarang Nora dah matang. Tak kena dengan usia,” jelasnya lagi yang sedang dalam proses mengembalikan berat badan idealnya, 45kg. (rtky/bsr)