Hilang mata pencarian sejak pandemik Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu, gitaris legenda, Man Kidal diuji lagi apabila disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun, baru-baru ini kisah Man Kidal mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang datang ke rumah untuk menghulurkan bantuan serta didaftarkan sebagai asnaf sementara.

“LZS memberi bekalan barangan keperluan asas. Pegawai lembaga itu juga meminta saya mengisi borang bagi mendapatkan bantuan pada masa depan.

“Malah, abang (Man Kidal) turut didaftarkan sebagai asnaf sementara sehingga dapat bangkit semula. LZS memaklumkan mereka akan membantu sedaya-upaya.

“Kecil atau besar sumbangan kami terima dengan lapang dada ketika bergelut ini,” kata isteri Man Kidal, Norlaila Yusof kepada BH Online.

Sebelum ini, berita melaporkan Man Kidal berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja sejak lebih setahun lalu. Norlaila yang juga pengurus Man Kidal memberitahu, suaminya yang menjadikan bidang muzik sebagai periuk nasi, hilang pendapatan akibat tiada ‘job’.

Dalam pada itu, Norlaila berkata dia dan suami berterima kasih kepada pihak yang bermurah hati membantu mereka dan tidak menyangka ramai yang prihatin.

“Terima kasih kepada rakan wartawan yang sudi menulis kisah kami. Tidak ketinggalan, semua pihak dan individu yang menghulurkan bantuan.

“Selama ini, kami tidak pernah meminta atau mengeluh hidup susah. Banyak bertawakal apa yang akan terjadi. Cuma pada satu tahap, kami tewas hingga terpaksa mengibarkan ‘bendera putih’.

“Apabila jadi begitu, buat apa nak malu… Kami reda. Namun, tidak sangka, ramai yang begitu baik membantu kami,” katanya.