Kota Kinabalu, 20 Ogos (Sinar Harian) – Pasukan peguam diketuai Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hadir di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu hari ini sebagai pemerhati dalam prosiding pertuduhan melibatkan lima remaja di Mahkamah Kanak-Kanak.
Hamid ketika ditemui media memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi menangguhkan prosiding pendakwaan berkenaan.
Turut kelihatan, pasukan peguam bela diketuai Datuk Ram Singh yang difahamkan mewakili salah seorang remaja yang dituduh dalam kes tersebut.
Prosiding dijangka berlangsung pada bila-bila masa di dalam bilik Mahkamah Kanak-Kanak. Suasana di pekarangan mahkamah turut menjadi tumpuan pengamal media yang membuat liputan kes berprofil tinggi itu.
Bagaimanapun, media tidak dibenarkan mengikuti prosiding dari dalam bilik mahkamah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Sedang dikemaskini …