Kes Cubaan Culik Anak, Polis Masih Tunggu Kerjasama Lufya Omar

Pasti ramai tahu, bulan lalu pelakon Lufya Omar berkongsikan detik cemas mendakwa anak perempuannya nyaris diculik oleh seorang lelaki ketika berada di taman permainan di Kota Damansara pada 26 Jun lalu.

Memetik Harian Metro, polis berkata pihaknya masih menunggu kerjasama daripada Lufya bagi siasatan lanjut berkenaan kes cubaan culik itu.

BACA: Anak Hampir Diculik, Lufya Omar Cedera Dipukul Di Muka

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan itu turut mengambil kira dakwaan Lufya dicederakan serta telah merakam percakapan pelakon itu.

“Kami masih menunggu kerjasama daripada pengadu (Lufya) untuk tindakan lanjut siasatan kes ini, meskipun percakapannya sudah dirakam,” katanya.

Terdahulu, Lufya meluahkan rasa syukur anak dan dirinya selamat meskipun cedera di muka selepas dipukul menggunakan batang kayu oleh lelaki berkenaan.

Difahamkan, Lufya telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara kira-kira jam 6 pagi, 29 Jun lalu.