fbpx

Kes Buli: Wardina Safiyyah Kini Salahkan Pembikin Filem Gangster

Semalam tersebar di laman sosial sebuah video klip menunjukkan kes buli pelajar sekolah dirakam menerusi telefon bimbit dan ini mengundang pelbagai komen dari seluruh lapisan masyarakat dan Wardina Safiyyah secara semulajadi memberikan pandangan beliau.

Menulis menerusi akaun Facebook beliau, Wardina Safiyyah berpendapat kes buli yang terjadi kini adalah disebabkan filem gangster yang mengandungi unsur keganasan yang diterbitkan oleh pembikin filem tempatan selama ini.

“Kepada pembuat filem gangster ambillah sedikit tanggungjawab kerana beri inspirasi anak anak Melayu untuk membuli dan bertindak ala gangster. Cubalah letak tepi sikit kerakusan mahu keuntungan semata. Kita semua tahu anda mahukan untung dan anda untung kerana ramai yang mahu menonton filem gangster anda. Demand and supply bukan?”

“Jangan salahkan anda tapi salahkan penonton yang mahukannya? Fikirlah sikit kesan pada minda anak bangsa kalau ada secuit pun rasa tanggungjawab dalam diri. Atau anda tak peduli kesannya. Mengotori minda anak muda kita tak apa? Kononnya ada ‘pengajaran’ di hujung cerita?”

Wardina terus menulis dengan lanjut mengatakan anak anak muda mudah terpengaruh dengan aksi dan lakonan pelakon pujaan mereka dalam filem gangster dan akan mengambil peluang untuk beraksi seperti dalam filem jika punyai peluang, yakni membuli.

Datuk Rosyam Nor Tidak Setuju Kenyataan Wardina Safiyyah

Malaysian Digest mendapatkan kenyataan pelakon yang sinonim dengan filem gangster, Rosyam Nor tentang perkara ini dan beliau berkata perkara ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya atas bahu pembikin filem kerana ianya satu pengaruh individu.

“Kes buli bukan berlaku hari ini malah, filem berunsur gangster sudah banyak dihasilkan. Penonton hari ini yang menonton filem kisah gangster bukan dalam kalangan mereka yang bodoh yang tidak tahu menilai baik dan buruk. Sebaliknya, apa yang berlaku terhadap kes buli seperti ini adalah berpunca daripada pengaruh dalam diri masing-masing,” jelas Rosyam Nor. (rtky/m)