Kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas semua proses libat urus melibatkan kementerian, agensi berkaitan serta Jemaah Menteri selesai.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pengalaman kerajaan menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 menjadi asas kepada pendekatan sama dalam merangka undang-undang bagi mengawal selia teknologi AI.

“Contohnya pengalaman kita dalam perbincangan sebelum ini membolehkan pihak kerajaan melalui beberapa jawatankuasa merangka dan seterusnya membawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkaitan Akta Keselamatan Dalam Talian.

“Itu hasil daripada banyak perbincangan termasuk dalam forum dan sesi libat urus. Jadi kita lihat perkara sama boleh dilakukan bagi teknologi baharu seperti AI,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi berkata, keperluan menggubal undang-undang khusus itu timbul susulan perkembangan pesat teknologi AI yang bukan sahaja membawa pelbagai manfaat, malah turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk penyalahgunaan.

Beliau menegaskan kerajaan tidak mahu kerangka kawal selia yang diperkenalkan nanti dilihat sebagai penghalang kepada inovasi atau pelaburan, sebaliknya bertujuan memastikan pembangunan AI berlaku secara bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu memberikan isyarat bahawa kita tidak mahu teknologi ataupun pelaburan. Kita mahu teknologi dan pelaburan yang bukan sahaja mendatangkan manfaat tetapi mengelakkan mudarat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa RUU Tadbir Urus AI yang sedang digubal akan memperkukuh aspek pencegahan serta akauntabiliti sepanjang kitar hayat sistem AI.

Menurut Gobind, undang-undang itu akan terpakai kepada semua pihak yang membangun, menyediakan, menggunakan atau mengendalikan sistem AI supaya langkah tadbir urus yang munasabah dilaksanakan mengikut tahap risiko sesuatu sistem.

Sementara menunggu RUU berkenaan diluluskan, Fahmi berkata badan kawal selia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani isu berkaitan AI.

Beliau memberi contoh tindakan MCMC terhadap platform X selepas teknologi AI Grok didapati boleh menghasilkan imej tidak sesuai yang kemudiannya disalahgunakan oleh pengguna.

“MCMC menghubungi pihak X supaya beberapa ciri kawalan atau guardrails diletakkan dan perkara itu sudah dilaksanakan,” katanya.

Mengulas kebimbangan terhadap penyalahgunaan AI bagi mengubah suai gambar individu tanpa kebenaran, Fahmi berkata mangsa boleh membuat aduan kepada platform terbabit atau terus kepada MCMC untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, sekiranya aduan berkaitan penyalahgunaan AI meningkat dengan ketara, kerajaan mempunyai beberapa mekanisme yang boleh digerakkan sebagaimana tindakan yang pernah diambil terhadap isu penyalahgunaan teknologi AI sebelum ini.

×