Kemelut yang berlaku antara pelawak, Ali Puteh dan bekas kakak ipar, Nor Hidayah masih tiada kesudahannya sehingga hari ini meskipun sudah lebih tiga tahun.
Terbaru, memetik mStar Online, Ali meminta kepada bekas kakak iparnya itu supaya berhenti mengeluarkan kenyataan sehingga dia dikecam teruk oleh netizen.
BACA: Ulas Isu Anak Abby Abadi, Netizen Minta Ali Puteh Bayar Hutang Hidayah
Ali turut memaklumkan urusan faraid serta pembahagian harta peninggalan arwah Abam sudah pun selesai pada bulan lalu yang tinggal hanya hutang saman fitnah.
“Kepada bekas kakak ipar saya iaitu Hidayah sudah-sudahlah keluarkan kenyataan yang boleh buat orang pandang hina kepada saya serta maki hamun… pembahagian harta pun sudah dapat bulan lepas.
“Sampai bila nak biar masyarakat mengata dekat saya makan harta anak yatim? Itu tak benar, pasal hutang ya betul saya kalah kes mahkamah, tak apa saya okay, saya cuba untuk bayar,” katanya.
Tambah Ali lagi, dia tidak kisah dengan kekalahannya dalam kes mahkamah dengan bekas kakak ipar namun menafikan dakwaan dia tiada usaha untuk membayar hutang saman berkenaan.
“Kali pertama lawyer saya usulkan untuk bayar bulan, awak tolak. Heboh satu Malaysia. Saya tengah kumpul duit ni, awak sita rumah mak saya.
“Saya tanya lawyer awak sendiri, sudah kali kedua saya bagi siap dengan surat lawyer lagi. Saya dah cuba bayar, duit tak cukup. Kalau duit cukup, tak ada lah saya berniaga.
“Saya bagi 3 biji motor beserta cash RM25,000, awak tolak juga. Awak kata tak nak, nak penuh RM75,000,” katanya.