fbpx

Tidak sampai sebulan bercerai dengan Ellie Suriaty, pelakon Azri Iskandar mengejutkan ramai apabila mengesahkan bakal berkahwin dengan wanita pilihan hatinya yang juga penulis skrip, Dr Azra Diera.

Memetik Harian Metro, Azri berkata dia bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini dan mahu bernikah bulan ini juga.

BACA: Tak Sampai Sebulan Cerai, Azri Iskandar Bakal Nikah Wanita Ada PhD

“Buat masa sekarang tarikh nikah belum ada. Insya-Allah dalam masa dua minggu ini saya akan ke Perlis berjumpa keluarga perempuan untuk merisik. Saya nak bincang dengan keluarga Azra untuk percepatkan perkahwinan, kalau boleh bulan ini,” katanya.

Berkongsikan mengenai hubungannya dengan wanita itu, Azri berkata dia mengenali Azra selepas 12 hari bercerai dengan bekas isterinya dan menafikan bakal isterinya punca mereka bercerai.

“Saya berjumpa Azra selepas 12 hari bercerai dengan Ellie. Kami bekerjasama dalam satu satu projek drama RTM. Saya ada menghubungi Azra untuk bertanya lanjut mengenai skrip itu.

“Dari situ saya terus tertarik melihatnya dan berterus terang. Tidak sangka dia juga sukakan saya. Kami merancang untuk berkahwin kerana masing-masing sudah berusia.

“Saya nak ‘move on’ dan tak nak buang masa sebab sudah jumpa orang sesuai. Namun, perkahwinan ini bukan punca saya bercerai dengan Ellie. Saya dah tua tak reti nak bercinta-cinta, kalau dah jumpa seseorang saya nak terus kahwin,” katanya.

Terdahulu, Azri dan Ellie sah bercerai talak satu pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.